Beliau berkata, ketika ini kerajaan hanya menangguhkan hukuman gantung terhadap pesalah berkaitan dadah.

Jelasnya, mesyuarat Kabinet yang lalu telah mengambil ketetapan meneruskan keputusan kerajaan sebelum ini menangguhkan hukuman gantung terhadap 17 banduan berkaitan kes dadah yang berada dalam senarai untuk menjalani hukuman gantung.

"Dalam konteks lebih luas, kami turut menyentuh mengenai keperluan untuk melihat semula sama ada perkara sama juga boleh diambil terhadap pesalah dalam jenayah lain," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan EduWAQF, iaitu wakaf pendidikan hasil inisiatif AWQAF Holdings Berhad di Pusat Konvensyen Bangi dekat sini hari ini.

Menurutnya, langkah itu perlu sekiranya bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati kerana membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu mahu pulang ke negara ini dan menjadi saksi kes tersebut.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Sirul Azhar yang kini mendapat perlindungan di Australia tidak mungkin dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana negara tersebut tidak membenarkan individu yang dijatuhi hukuman gantung balik disebabkan mereka tidak melaksanakan hukuman tersebut di sana. - Bernama