Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah tersebut diperoleh berdasarkan Penyata Lengkap Pinjaman Kerajaan Persekutuan sehingga tarikh tersebut dari Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM110.8 juta merupakan jumlah bayaran yang tertunggak kepada kerajaan persekutuan sehingga tarikh itu dengan tunggakan pokok pinjaman sebanyak RM81.9 juta, faedah sebanyak RM22.9juta dan faedah lewat sebanyak RM5.9 juta.

“Pada 4 September 2014, Notis Pengisytiharan Berlaku Keingkaran selaras dengan klausa 14 Perjanjian Pinjaman antara kerajaan persekutuan dan NFCorp telah dikemukakan kepada syarikat itu.

“Kementerian Kewangan kini telah mengambil keputusan untuk menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada NFCorp dan perkara ini telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos tahun lalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, perkara itu sedang diuruskan oleh pihak Jabatan Peguam Negara yang akan mengumumkan perkembangan selanjutnya.

Sementara itu, jelasnya, NFCorp telah mendapat kemudahan pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM250,000,000 pada kadar faedah 2 peratus dengan tempoh pinjaman selama 20 tahun dan tempoh tangguh selama tiga tahun pada 9 Januari 2008.

Jelasnya, pinjaman tersebut bersandarkan debentur yang ditandatangani bersama perjanjian pinjaman pada 6 Disember 2007.

“Berdasarkan laporan usaha wajar syarikat perakaunan, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC), Ahli Lembaga Pengarah NFCorp bagi tempoh 6 Disember 2007 sehingga 31 Disember 2011 terdiri daripada Datuk Dr. Mohamad Salleh Ismail dan anak-anaknya, Izran, Izmir dan Izzana bersama wakil-wakil kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 17 Mei lalu merekodkan Mohamad Salleh sebagai satu-satunya Ahli Lembaga Pengarah NFCorp bersama 2 orang Setiausaha Syarikat,” katanya. - K! ONLINE