Dalam ucapan di televisyen, Perdana Menteri itu turut mengulangi hasrat untuk memperluaskan penempatan Israel di Tebing Barat.

“Sekiranya saya menerima daripada anda, rakyat Israel, mandat yang jelas, hari ini (semalam), saya mengumumkan rancangan kerajaan akan datang untuk melaksanakan kedaulatan Israel ke atas Lembah Jordan dan utara Laut Mati,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Netanyahu, beliau akan berbuat demikian dengan kerjasama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang dijangka mengumumkan pelan damainya selepas pilihan raya Israel selesai.

Langkah kontroversi itu boleh membunuh saki-baki harapan bagi mencapai penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin seperti yang disokong masyarakat antarabangsa. 

Mengulas ucapan Netanyahu, pegawai kanan Palestin, Hanan Ashrawi berkata, pemimpin Israel itu bukan hanya memusnahkan penyelesaian dua negara tetapi juga menutup semua peluang keamanan.

Israel menakluki Tebing Barat semasa Perang Enam Hari dalam tahun 1967. Langkah itu bagaimanapun tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Penempatan Yahudi di wilayah Palestin tersebut dianggap mencabuli undang-undang antarabangsa. - AFP