Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, mayat mangsa, Abd. Rani Zakaria, 53, ditemui orang awam dalam keadaan terapung di muara sungai berhampiran sangkar ikan.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Punggur, Kuala Trong di sini itu menaiki bot seorang diri untuk memancing pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Mohamad Taib berkata, orang awam yang menaiki bot membawa kayu bakau melalui lokasi kejadian pada pukul 8 pagi dan dia hanya melihat bot kosong mangsa tersebut dalam keadaan enjin hidup tanpa mengesyaki sesuatu.

“Apabila melalui kawasan kejadian ketika pulang dari menghantar kayu bakau itu, lelaki tersebut turut melihat bot tersebut masih kosong dan enjinnya masih hidup sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

“Lelaki tersebut mengesyaki berlaku sesuatu terhadap mangsa dan gerakan mencari mangsa dilakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Mohamad, operasi yang dijalankan semalam itu bersambung pagi tadi dan mayat mangsa dijumpai terapung berhampiran sebuah sangkar ikan berhampiran.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk proses bedah siasat,” katanya. - K! ONLINE