Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Azlim Mohd. Nor, 42, ditemui terapung kira-kira 15 meter dari lokasi kejadian manakala rakannya, Mohd. Zamri Said, 18, pula berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke kawasan daratan.

Menurut isteri mangsa, Rosdiana Mohamad, 42, suaminya keluar untuk mencandat sotong bersama seorang rakan pada pukul 6.30 petang semalam sebelum dia dimaklumkan oleh bapanya mengenai kejadian tersebut.

"Arwah suami sudah lebih enam bulan tidak keluar untuk mencandat sotong tetapi petang semalam dia turun ke laut bersama rakan baiknya.

"Tidak ada sebarang petanda yang pelik dan semuanya seperti biasa sahaja cuma sebelum dia keluar, saya sempat menyiapkan air kopi bersama roti sebagai bekal," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Ibu kepada tiga anak berusia sembilan hingga 16 tahun itu berkata, suaminya ditemui oleh orang kampung di kawasan muara sungai dan dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang, Marang untuk pemeriksaan sebelum disahkan meninggal dunia. - K! ONLINE