Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, Penolong Penguasa Bomba Khairul Anuar Abu Bakar berkata, mangsa, Shahrul Naim Mohamad Sukor, 38, ditemui terapung 14 kilometer dari pantai Pasir Panjang iaitu kira-kira 20 kilometer dari Pantai Redang.

"Sebuah bot penyelamat dengan kekuatan empat anggota diketuai Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Tengku Muhammad Iqbal Tengku Abu Bakar telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di perairan Pasir Panjang sejak Isnin lalu berjaya menemui mayat mangsa di kawasan itu.

"Turut serta dalam operasi itu tiga buah bot bersama enam nelayan tempatan," katanya di sini hari ini.

Tambah Khairul Anuar, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis pada pukul 10.40 pagi sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat. - K! ONLINE