Beliau berkata, walaupun gaji atau upah dinaikkan hingga 10 atau 25 peratus, namun ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan jika peningkatan itu disusuli dengan kenaikan kos sara hidup.

"Tiada makna jika gaji kita lebih tetapi daya beli kita sama dengan sebelum gaji kita dinaikkan," katanya ketika berucap pada pehimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Mengambil contoh sebuah negara jiran, Mahathir berkata, walaupun negara tersebut mempunyai kadar gaji atau upah yang tinggi mengikut kadar mata wang mereka, namun negara tersebut bukanlah sebuah negara kaya.

"Tetapi apa guna kita jadi jutawan kalau daya beli kita hanya setakat di tepi jalan sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, daya beli rakyat juga bergantung kepada produktiviti atau daya keluaran yang meningkat, seiring dengan pendapatan dan upah.

Katanya, jika daya keluaran kurang atau masih pada tahap lama walaupun gaji meningkat, kos sara hidup akan terus meningkat kerana barangan lama yang dahulunya murah akan menjadi mahal akibat dihasilkan oleh pekerja bergaji tinggi.

"Kos produksi akan meningkat dan kos sara hidup akan meningkat. Walaupun gaji meningkat hingga 25 peratus tetapi daya beli kita tidak meningkat 25 peratus.

"Dengan itu, kita sekali lagi memohon supaya ditambah gaji dan upah tetapi kalau (gaji) ditambah tanpa daya keluaran meningkat, jumlah wang yang kita dapat tidak akan mempunyai apa-apa makna sekali pun," katanya. - Bernama