Menerusi hantaran di Instagram The Family.uk, Fatimah dilaporkan sekali lagi mengalami kemurungan pada 12 Jun (Rabu) lalu ekoran kehilangan bapa saudaranya, Adamdidam yang digelar Mamajee meninggal dunia pada 19 Mei lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

"Tolong hubungi Auntie Love (Neelofa), minta tolong dia beritahu Allah SWT untuk pulangkan Mamajee walaupun hanya seminit.

"Saya cuma perlukan seminit sahaja. Hanya seminit dan saya akan pulangkan Mamajee kepada Allah SWT," ujar Fatimah kepada ibunya yang dipanggil sebagai Kak Ila.

Terdahulu, ibu Fatimah turut berkongsi hantaran yang memaparkan perbualan antaranya dan Neelofa ketika pengacara tersebut menunaikan umrah di Mekah minggu lalu.

lofatimah
Paparan perbualan Neelofa yang ingin bantu Fatimah menyampaikan doa di depan Kaabah. Gambar media sosial

Perkongsian yang mendapat perhatian ramai itu memaparkan Neelofa sedia untuk menerima panggilan daripada Fatimah untuk mengirim doa kepada Mamajee memandangkan pengacara tersebut ketika itu berada di depan Kaabah.

"Kalau Fatimah hendak Facetime (panggilan video) boleh, sebab saya berada di depan Kaabah ketika ini.

"Mungkin boleh tanya apa Fatimah hendak lepaskan atau cakap kepada Mamajee, jadi Auntie Love boleh sampaikan pada Allah SWT," tutur Neelofa dalam perbualan tersebut.

Tambah ibu Fatimah, Neelofa berbual dengan Fatimah serta turut menunjukkan rupa Kaabah bagi memulihkan semangat kanak-kanak berkenaan.

"Neelofa berada di di depan Kaabah sehingga masuk waktu Isyak dan turut menghubungi abang serta adik lelaki Fatimah, Omar Mukhtar dan Ali. Dia sempat bertanya khabar Fatimah untuk memastikan Fatimah berada di dalam keadaan baik. 

"Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan keperibadian Neelofa seperti bidadari yang tak putus-putus mengirim doa dan semangat kepada keluarga kami. Mamajee pasti gembira mengetahui anak-anak saudaranya dikelilingi oleh individu seperti Neelofa," katanya.

Pemergian Adam dilihat memberi impak emosi kepada ramai pihak termasuk anak-anak saudaranya yang kini menetap di UK.

Hubungan Adam dan keluarga Fatimah sangat rapat serta sering menjadi perhatian kerana hantaran video-video di Instagram.  - K! ONLINE