"(Kumpulan) ini saya fikir penting untuk dunia melihat...empat gadis moden yang juga orang Islam," kata David Foster, seorang daripada tiga juri program itu, dalam satu temu bual dengan Bernama dan dua media Singapura di sini.

Empat sekawan iaitu Nur Fazrina Mohd Ani, 28, Noor Syamimi Makhetar, 24, Norfazira Malik, 24, dan Nur Farahida Dolhadi, 24, merupakan satu daripada tiga persembahan yang terpilih menerusi Pilihan Juri sekali gus menolak undian dalam talian untuk menempah tiket ke final.

Foster, pemuzik dan penerbit dari Kanada, kagum dengan konsep dibawa NAMA yang mana walaupun mereka berhijab tetapi ia tidak menghalang mereka untuk membuat persembahan menghiburkan di atas pentas.

"Saya mencadangkan kepada seseorang di LA (Los Angeles). Saya curi sedikit idea...mereka sedang membuat TV perintis mengenai (program) seorang wanita. Saya katakan...kita harus menjadikan seorang daripada mereka dalam kumpulan Muslim ini. Ia akan menjadi sesuatu yang menarik untuk TV Amerika. Dia normal...dia hebat...dia masih boleh berseronok dia penyanyi yang hebat," katanya.

Mengulas mengenai seorang lagi peserta dari Malaysia yang berjaya ke final, Yaashwin Sarawanan, Jay Park, penyanyi rap terkenal Amerika-Korea berkata remaja lelaki berusia 15 tahun itu 'cukup unik'.

"Beliau berbakat dan sangat unik. Saya tidak pernah membayangkan dalam 1,000 tahun seorang lelaki menyelesaikan (masalah) Matematik dengan baik dan berjaya ke peringkat akhir. Ini agak gila," katanya.

Yaashwin yang menganggap dirinya sebagai penghibur dan bukannya 'manusia kalkulator' seperti yang diperkatakan ramai, akan membuat persembahan terakhirnya di Marina Bay Sands di sini bersama NAMA dan tujuh lagi finalis malam ini.

Finalis lain ialah Siti Saniyah (Indonesia), Maniac Family (Taiwan), Shadow Ace (Filipina), Junior Good Vibes (Filipina) dan Eric Chien (Taiwan).

Ditanya mengenai langkah seterusnya bagi pemenang selepas memenangi hadiah wang tunai AS$100,000 (RM407,950) seorang lagi juri Anggun Cipta Sasmi berkata Asia's Got Talent menawarkan 'platform bertaraf dunia'. - Bernama

Yaashwin Sarawanan mengagumkan juri kerana pantas membuat kira-kira.
Yaashwin Sarawanan mengagumkan juri kerana pantas membuat kira-kira.