Bagaimanapun, ketibaan beliau pada pukul 10.30 pagi tidak disedari petugas media yang sedang menunggu di pintu utama bangunan suruhanjaya itu sehingga kehadiran bekas Menteri Kewangan itu dimaklumkan oleh jurucakap SPRM.

Semalam, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang turut hadir ke ibu pejabat SPRM di sini bagi memberi keterangan berkenaan siasatan kes sama.

Dzulkifli telah memberi keterangan kira-kira lima jam sebelum meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 3.30 petang manakala Ambrin pula selesai memberi keterangan pada pukul 9.40 malam tadi.

Kosmo! Online 25 November lalu melaporkan, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mendedahkan bahawa Laporan Akhir Pengauditan 1MDB telah diubah.

Jelasnya, Najib tahu mengenai perkara tersebut dan dua perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan status kewangan 1MDB.

Menurut Madinah, perkara itu diarahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Shukry Salleh pada 26 Februari 2016 atas alasan ia sensitif dan untuk mengelak fakta diputar belit oleh pembangkang ketika itu.

Jelasnya, beliau telah menyampaikan taklimat kepada mesyuarat Jemaah Menteri mengenai pindaan kepada Laporan Akhir Pengauditan 1MDB sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016. - K! ONLINE