Najib, 65, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak.

Terdahulu, sebelum dibawa ke Mahkamah Tinggi, Najib telah pun didakwa di Mahkamah Sesyen dihadapan Datuk Zainal Abidin Kamarudin untuk didakwa namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama, Najib didakwa sebagai seorang penjawat awam dan ejen iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Advisor Emeritus SRC dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik syarikat itu berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan AmBank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini antara 24 hingga 29 Disember 2014.

Najib didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Sementara itu, pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari hingga 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama.

Pertuduhan keempat pula, Najib didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC.

Najib dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 hingga 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Peguam Negara, Tommy Thomas yang mewakili pendakwaan mencadangkan jaminan RM4 juta kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Najib melalui Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan sebab ahli keluarga tertuduh sudah mengumpul duit daripada sahabat dan keluarga terdekat bagi mambayar jaminan tetapi jumlahnya tidak sampai RM4 juta.

“Anak guam saya tidak mempunyai kesalahan lampau malah tidak mempunyai kesalahan trafik," katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan Najib diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin selain pasport miliknya diserahkan pada mahkamah.

Selain Tommy, seramai 11 Timbalan Pendakwa Raya lain terlibat dalam kes pendakwaan itu. - K! ONLINE