Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadap Najib, 65, dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Najib didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui Realtime Electronic Transfer of Fund And Securities (Rentas) yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank.

Pertuduhan kedua, najib telah menerima wang berjumlah RM5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram daripada Rentas di tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Najib telah menerima wang berjumlah RM10 juta yang merupakan hasil aktiviti haram daripada Rentas di tempat yang sama.

Beliau dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini pada 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembia­yaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau tidak lebih RM5 juta jika sabit kesalahan.

Turut hadir dalam prosiding itu, Mohd. Norashman Najib dan Nooryana Najwa Najib yang berada di galeri awam.

Terdahulu, Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Pejabat Jabatan Peguam Negara, Datuk Hanafiah Zakaria memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk direkodkan pengakuan.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu dan menetapkan sebutan hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Barisan pihak pendakwaan diketuai Mohamad Hanafiah dan 11 Timbalan Pendakwa Raya.

Mereka adalah Manoj Kurup; Datuk Suhaimi Ibrahim; Datuk Umar Saifuddin Jaafar; Datuk Ishak Mohd. Yusoff; Donald Joseph Franklin; Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; Budiman Lutfi Mohamed; Sulaiman Kho Kheng Fuei; Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Pasukan peguam bela Najib pula Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah; Harvinderjit Singh; Datuk Raj Krishnan; Farhan Read; Rahmat Hazlan; Muhamad Farhan Muhamad Shafee dan Syahirah Hanapiah. - K! ONLINE