Kenderaan yang membawa Najib dipercayai jenis Proton Inspira berwarna merah selain diiringi enam kereta lain serta dua buah motosikal pengiring polis.

Difahamkan, Najib, 65, akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan yang mana pasukan pendakwaan akan diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas.

Berdasarkan maklumat, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 yang terletak di Aras 4, Sayap Kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Kes itu dijangka disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Semalam, Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Malaysia (1MDB) mengesahkan Najib ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.35 petang berhubung siasatan SRC International Sdn. Bhd.

Ekoran penangkapan mengejut itu, Najib yang juga bekas Menteri Kewangan terpaksa bermalam di lokap agensi antirasuah tersebut sebelum dibawa ke Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini.

Tangkapan ke atas bekas Presiden UMNO itu oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB adalah berdasarkan siasatan yang dilakukan pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam perkembangan sama, Najib dipercayai akan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 21 Akta SPRM.

Seksyen 409 Kanun Keseksaan ialah kesalahan berkaitan pecah amanah oleh penjawat awam. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada dua tahun tetapi tidak lebih daripada 20 tahun, sebat dan denda.

Seksyen 23 Akta SPRM pula menyatakan seseorang penjawat awam yang didapati bersalah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan, sama ada untuk diri sendiri, saudara atau sekutu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Difahamkan juga, Najib boleh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amla) 2001. Bagi pertuduhan mengikut Amla, Najib disiasat oleh PDRM.

Bulan lalu, Najib dua kali dipanggil memberi keterangan berhubung SRC International Sdn. Bhd. yang sedang dijalankan SPRM.

SRC International Sdn. Bhd. merupakan anak syarikat 1MDB sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada tahun 2012.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dilapor berkata, penyiasatan SPRM pada 2015 terhadap Najib membabitkan isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn. Bhd. ke dalam akaun peribadi bekas Perdana Menteri itu. - K! ONLINE