Bekas Presiden UMNO itu tiba di Menara 238, Jalan Tun Razak di sini kira-kira pukul 10 pagi.

Difahamkan, beliau disoal siasat di Tingkat 23 Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram di sini.

Menurut sumber, siasatan yang dijalankan pada hari ini adalah untuk memberi keterangan mengenai cek yang pernah dikeluarkan pada tahun 2011.

“Keterangan yang Najib akan berikan adalah mengenai pengeluaran cek yang pernah dilakukan dahulu antaranya digunakan untuk membayar katering, khemah dan cenderamata.

“Cek tersebut adalah dana daripada parti UMNO itu sendiri yang hanya digunakan bertujuan untuk majlis politik sahaja,” katanya.

Najib pada 27 Ogos lalu memberikan keterangan kepada PDRM mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla) 2001.

Menurut sumber itu lagi, soal siasat pada Isnin lalu oleh pihak polis terhadap Ketua UMNO Pekan itu adalah berhubung sejumlah transaksi kewangan melibatkannya. - K! ONLINE