Beliau berkata, maklumat berkenaan debat termasuk tajuk, syarat perdebatan, tarikh, masa dan tempat akan dibincangkan bersama beberapa pihak yang terlibat dalam tempoh terdekat. 

"Insya-Allah kita akan tentukan tarikh, saya minta lepas Ramadan ini, tidak mungkin kita hendak berdebat dalam bulan Ramadan pula.

"Tarikh, tempat dan kaedahnya akan ditentukan tapi yang pasti debat itu akan tetap diadakan," katanya.

Najib ditemui selepas menghadiri majlis Iftar Jamaie di kediaman Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad di Klebang di sini tadi. 

Turut hadir hadir ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Raof Yusoh.

Terdahulu, dalam laporan sebuah portal hari ini, Najib mengeluarkan kenyataan mencabar Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri untuk berdebat.

Najib berkata, beliau bersedia mengadakan “apa saja” perdebatan gaya bebas dengan Kit Siang, selepas pemimpin kanan DAP itu menyerang secara terbuka mengenai frasa "Malu Apa Bossku" yang didakwa melanggar prinsip Rukunegara, baru-baru ini.

Pada Julai tahun lalu, Kit Siang turut mencabar Najib menyertai debat umum bertajuk Islam Bukan Kleptokrasi. - K! ONLINE