Najib,  yang juga Anggota Parlimen Pekan, mengesahkan perkara itu selepas hadir memberi keterangan lebih lima jam di ibu pejabat SPRM di sini, hari ini.

Beliau berkata proses merekod keterangan hari ini mengambil masa antara 10 pagi hingga 2.15 petang.

Proses yang dijalankan hari ini adalah lanjutan daripada keterangan yang dibuat berhubung kes itu kepada SPRM pada 2015.

"Saya telah memberi kenyataan kepada SPRM pada 2015 atas isu SRC dan kenyataan hari ini adalah lanjutan daripada proses itu. Cuma, ia lebih terperinci dengan pengesahan dokumen dan juga beberapa butiran  yang lebih menyeluruh lagi," katanya  kepada pemberita di sini, hari ini.

"(Pihak SPRM memberi) setengah jam rehat, saya ucapkan terima kasih kepada pasukan yang ambil keterangan kerana telah melakukannya dengan profesional," katanya.

Bekas perdana menteri itu, yang memakai kemeja dan kot biru, meninggalkan ibu pejabat SPRM pada 3.15 petang dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna putih.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengesahkan yang Najib tidak akan ditahan hari ini manakala pihaknya akan memanggil satu atau dua lagi saksi penting berhubung kes itu.

Pengamal media tempatan dan antarabangsa telah menunggu seawal 8 pagi tadi bagi membuat liputan kes itu yang melibatkan bekas perdana menteri tersebut. 

Jumaat lepas, SPRM telah menyerahkan notis meminta  Najib  hadir   untuk  memberi  keterangan  selepas suruhanjaya itu membuka semula siasatan kes aliran  wang dari SRC International, yang merupakan anak  syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada  26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes yang melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International. - Bernama