Kesemua mereka adalah Sohaini Sampson, 50 bertindak sebagai ketua konvoi selain Mohd. Amir Sharifuddin Mohd. Ridzuan, 32, Mohd. Fadzil Abdul Muarat, 37, Muhairi Muhammad, 39, Mohd Norsikin Solikin, 42, Mohd. Romzi Sayuti, 47, Azlihan Ishak, 48, Zulhazwan Ismail, 34, dan Musaili Saim, 53.

Jurucakap konvoi, Zulhazwan berkata, mereka berjaya menempuh perjalanan sejauh 12,000 kilometer (km) menggunakan jentera Honda RS150R bermula dari Alor Setar, Kedah pada 8 Jun lalu.

Katanya, sepanjang tempoh perjalanan 36 hari itu berjaya merentasi Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran dan UAE.

"Ramai juga netizen yang mengikuti perkembangan perjalanan ini melalui laman Facebook Kelab Kebajikan Permotoran Amal - Karahaki menanyakan mengapa kembara bermotosikal ini hanya sampai Dubai dan tidak diteruskan sampai ke Mekah.

"Perkara itu disebabkan peraturan kerajaan Arab Saudi yang menetapkan tiada kenderaan dari negara luar yang dibenarkan masuki sempadan negara itu semasa musim haji," katanya ketika dihubungi Kosmo! menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Justeru, Zulhazwan menegaskan peserta RTH2.0 akan meneruskan perjalanan ke Mekah menggunakan pengangkutan udara beberapa hari lagi.

"Doakan perjalanan kami menuju ke Tanah Suci berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, seorang peserta RTH2.0, Mohd. Romzi memberitahu, pelbagai cabaran dan pengalaman ditempuhi sepanjang misi itu termasuk melalui kawasan tanah runtuh selain menghadapi masalah teknikal e-visa semasa di sempadan Myanmar-India.

Dia yang berasal dari Sungai Besar, Selangor menjelaskan sambutan meriah penduduk di kawasan yang dilalui diterima terutama apabila mengetahui konvoi ini menuju ke Mekah.

"Kami juga berjaya singgah di tempat bersejarah dan menarik seperti Bangunan Taj Mahal di Agra, Uttar Pradesh, India dan bangunan pencakar langit Burj Khalifa, Dubai," katanya. - K! ONLINE

Peserta Ride To Hajj 2.0 singgah di Bangunan Taj Mahal, Agra semasa melalui negeri Uttar Pradesh, In
Peserta Ride To Hajj 2.0 singgah di Bangunan Taj Mahal, Agra semasa melalui negeri Uttar Pradesh, India.