Beliau dalam kenyataan di sini, hari ini berkata jumlah kes itu menunjukkan peningkatan sebanyak 139.8 peratus berbanding 536 kes pada tempoh sama tahun lepas.

"Taburan kes HFMD mengikut daerah setakat ini adalah 950 kes di daerah Seremban, Jempol (102), Port Dickson (75), Rembau (73), Kuala Pilah (63), Jelebu (46) dan 41 kes di Tampin. Tiada sekolah yang ditutup sepenuhnya di Negeri Sembilan.

"Jumlah premis masih ditutup adalah dua taska dan satu prasekolah di Sekolah Kebangsaan Paroi, Seremban. Hasil semakan dan verifikasi pemantauan wabak penyakit berjangkit yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mendapati tiga pelajar prasekolah di SK Paroi, dijangkiti dan kesemuanya mendapat rawatan pesakit luar dan stabil," katanya.

Veerapan dalam pada itu meningatkan orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga pusat kanak-kanak di taska, tadika, tabika dan prasekolah supaya mengambil  langkah pencegahan termasuklah memastikan kebersihan premis serta melakukan saringan di pintu masuk premis bagi memastikan tiada kanak-kanak dijangkiti.

"Selain itu, mereka perlulah melaporkan kluster HFMD kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan," katanya.

Selain pengusaha dan penjaga pusat jagaan kanak-kanak, beliau turut menasihatkan  ibu bapa dan penjaga supaya anak yang dijangkiti tidak dibawa ke tempat awam, sekolah, tadika dan taska bagi mengelakkan kanak-kanak lain turut menerima jangkitan. - Bernama