Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, terdapat beberapa perkara perlu diambil kira termasuk sejarah perubatan dan kesihatan kanak-kanak itu.

"Puncanya belum dapat kita terangkan, tetapi akan ditangani oleh pakar pediatrik dan neurologi kita. Jangan silap faham apabila orang dengar Myokymia ia disebabkan kimia, ia tidak semestinya begitu.

"Kita belum dapat pastikan perkara ini secara teliti sebab kita perlu juga memahami sejarah perubatan dan susur galur perkara itu yang tidak boleh saya sebutkan (di sini) kerana ia melanggar etika perubatan," katanya pada sidang akhbar sempena Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana di sini hari ini.

Irfan Wafiy yang merupakan anak keempat daripada lima beradik disahkan menghidap Myokymia iaitu penyakit saraf seakan-akan Parkinson yang dipercayai selepas terdedah dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Mac lalu.

Dzulkefly berkata, beliau bagaimanapun mengambil penuh tanggungjawab untuk memastikan ibu bapa Irfan Wafiy diberi penjelasan sebaiknya dan memastikan kanak-kanak itu dirawat oleh pakar-pakar perubatan.

Dalam perkembangan lain, katanya, mayat 12 penduduk Orang Asli dari Kampung Kuala Koh di Gua Musang, Kelantan yang ditemui polis telah menjalani proses bedah siasat pada 17 dan 18 Jun lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, hasil bedah siasat belum dapat mengesahkan punca kematian mereka kerana keputusan ujian toksikologi, logam berat dan entomologi masih belum diperolehi.

Menurut beliau, sehingga semalam, tiada kes kematian baharu dilaporkan dan kes kematian kekal tiga kes yang disahkan demam campak melalui ujian makmal. - K! ONLINE