Siasatan dilakukan susulan arahan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berikutan pengeluaran notis kenaikan harga yang dikeluarkan oleh beberapa pemain industri pada bulan Julai dan Ogos 2018 sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September.

Pengarah Bahagian Penyiasatan dan Penguatkuasa MyCC, Iskandar Ismail berkata MyCC bersama-sama dengan Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diarahkan untuk menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada tindakan tersebut menimbulkan isu di bawah undang-undang yang berkaitan.

"MyCC akan terus bekerjasama dengan KPDNHEP untuk menguatkuasakan undang-undang. Usaha bersama kami adalah bukti komitmen untuk memastikan kepentingan pengguna dilindungi. 

"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap perusahaan yang didapati melanggar undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

MyCC dan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP telah memeriksa beberapa syarikat tayar diikuti dengan pemeri

MyCC dan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP telah memeriksa beberapa syarikat tayar diikuti dengan pemeriksaan oleh MyCC terhadap beberapa persatuan tayar yang berkaitan.

Iskandar berkata pemeriksaan berasingan juga telah dijalankan oleh MyCC terhadap pengeluar minuman berikutan tindakan mereka mengeluarkan notis harga baharu kepada pasar raya di Malaysia.

Siasatan oleh MyCC ke atas pihak yang terbabit adalah berkaitan dengan seksyen 4 Akta Persaingan 2010 sementara penyiasatan yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP adalah berkenaan isu di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Notis telah dikeluarkan kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk mengemukakan maklumat dan dokumen tertentu dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh kedua-dua pihak berkuasa bagi membantu penyiasatan lanjut.

Layari laman www.mycc.gov.myuntuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti MyCC dan akta berkaitan. - Bernama