Writ saman yang difailkan menerusi firma guaman Messrs. F.T Ahmad & Co. itu menamakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden.

Perintah saman tersebut turut menyatakan pelantikan Mohd. Shafie merangkap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sebagai Ketua Menteri baharu tidak mengikut perlembagaan.

Perintah itu juga memohon kepada mahkamah untuk menghalang Mohd. Shafie daripada menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri di negeri ini.

Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Musa berkata, writ saman itu juga menghendaki pengisytiharan semua tindakan Mohd. Shafie yang dikatakan sebagai Ketua Menteri ketika ini sebagai tidak sah dan tiada kesan.

Katanya, mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, kedua-dua defendan mempunyai tempoh 14 hari untuk memberi maklum balas kepada writ berkenaan.

Writ tersebut difailkan melalui kaedah e-filing pada pukul 1 petang hari ini.

Musa mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Juhar pada 10 Mei lalu berdasarkan majoriti mudah 31 kerusi hasil kerjasama BN-Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Dua hari kemudian, Mohd. Shafie pula mengangkat sumpah Ketua Menteri di hadapan Juhar selepas Warisan dengan kerjasaman Pakatan Harapan mendapat majoriti mudah 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyertai Warisan untuk membentuk kerajaan. - K! ONLINE