Peguam Zahir Shah yang mewakili Musa, membuat kenyataan tersebut selepas pihak Jabatan Imigresen Malaysia mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga itu dipercayai telah lari ke luar negara tanpa mengikut saluran sah memandangkan tiada sebarang rekod menunjukkan beliau keluar dari negara ini.

"Merujuk kepada laporan artikel yang disiarkan hari ini, saya ingin menegaskan Tan Sri Musa Aman tidak pernah meninggalkan negara secara haram dan sentiasa melalui saluran imigresen yang betul.

"Sebagaimana yang dinasihatkan doktor peribadinya, beliau (Musa) kini sedang menjalani rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menjelaskan jenis dan lokasi Musa mendapatkan rawatan terbabit.

Tambah Zahir, Musa akan kembali sebaik sahaja sesi rawatan selesai dan doktor berpuas hati dengan tahap kesihatannya.

"Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sedia memberi kerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya ia dijalankan secara adil dan mematuhi undang-undang," jelasnya lanjut. - K! ONLINE