Menurut sumber, Musa gagal meneruskan sesi soal siasat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum dibawa ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan.

“Musa terlebih dahulu dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan awal selepas gagal meneruskan sesi soal siasat bersama SPRM dan pada pukul 6.30 beliu dikejarkan ke IJN kerana sesak nafas.

“Ekoran situasi itu pasukan siasatan SPRM belum menyelesaikan sesi mengambil keterangan daripada Musa kerana masalah kesihatan yang dihadapi bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu," katanya.

Terdahulu kira-kira pukul 2.10 petang tadi, Musa dilihat meninggalkan ibu pejabat SPRM di sini selepas lebih dua jam memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau meninggalkan ibu pejabat SPRM dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna perak menggunakan nombor pendaftaran WRJ65.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memaklumkan pihaknya tidak tergesa-gesa untuk mengambil keterangan bekas Ketua Menteri Sabah itu berhubung dakwaan rasuah pada PRU-14.

Tujuan SPRM memanggil Musa untuk mengambil keterangan dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan.

Selepas PRU-14 lalu, Jeffrey bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam usaha membentuk kerajaan negeri dan beliau disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan menerima RM20 juta daripada pihak tertentu.

Hari ini akhbar melaporkan Musa merangkap bekas Pengerusi BN Sabah selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di hadapan Speaker, Datuk Syed Abas Syed Ali pada pukul 3.33 petang semalam. - K! ONLINE