Perkara tersebut disahkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Syed Abas Syed Ali yang turut memberitahu, bahawa Musa tidak boleh bertangguh lagi menyempurnakan proses angkat sumpah sebelum kerusinya itu diisytiharkan kosong.

"Ya, kami sedang melakukan persediaan seperti biasa sekiranya beliau hadir maka kita teruskan proses (angkat sumpah) berkenaan.

"Bagaimanapun, kami tidak tahu sama ada dia akan datang ataupun tidak tetapi, sudah dijanjikan hari ini. Kalau tidak hadir kita buat lain kali sebelum 11 September depan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Musa yang berusia 67 tahun sedang menerima rawatan di Subang Jaya Medical Centre (SJMC), Selangor sebaik selamat tiba di negara ini pada pukul 6.45 petang, Selasa lalu.

Musa sebelum itu dikatakan berada di Hospital Mount Elizabeth di Singapura bagi menjalani rawatan berkaitan pembedahan pintasan jantung. Sebelum meneruskan rawatan di Singapura, Musa terlebih dahulu menjalani rawatan di Hospital Clementine Churchill di London, United Kingdom (UK).

Terdahulu, semalam Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan, Musa yang merupakan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Siasatan terbabit berikutan laporan berkaitan ugutan jenayah terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. - K! ONLINE