Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, rombongan Musa Aman yang tiba dari Seletar, Singapura itu telah menjalani pemeriksaan.

Walaubagaimanapun, Musa Aman tidak dapat hadir ke kaunter pemeriksaan imigresen atas sebab kesihatan. 

“Dokumen semua penumpang pesawat ini telah diperiksa dan direkodkan ke dalam Sistem Komputer Jabatan Imigresen,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Mustafar berkata, pemeriksaan dokumen terhadap Musa Aman dan penumpang lain selesai pada pukul 7 petang.

Tambah beliau, pihak imigresen juga telah memaklumkan ketibaan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga itu kepada pegawai penyiasat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, Mustafar mengesahkan tidak ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan penumpang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai bertugas.

Musa Aman dikehendaki berikutan laporan polis atas dakwaan membuat ugutan jenayah terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu pada 26 Jun mengesahkan beliau berada di United Kingdom atas urusan perubatan dan peribadi serta telah meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei lalu.

Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Musa berada dalam senarai dikehendaki.

PDRM sudah menyerahkan notis merah kepada Interpol selain memaklumkan pihak berkuasa United Kingdom. - K! ONLINE