Menurutnya, beliau yakin Muhammad Adib akan pulih seperti seorang anak muda sesuai dengan umurnya iaitu 24 tahun hasil rawatan dan pemantauan berterusan IJN.

"Adib menunjukkan perkembangan yang positif dan doktor telah memberikan tumpuan sangat baik kepadanya.

"Saya percaya dengan rawatan dan pemantauan, Muhammad Adib akan kembali pulih seperti sedia kala tetapi kini masih memerlukan rawatan insentif," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Muhammad Adib di IJN, di sini hari ini.

Zuraida berkata, keluarga Muhammad Adib juga menunjukkan reaksi ceria selepas melihat perkembangan positif anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim berkata, Muhammad Adib akan kekal ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sehingga sembuh sepenuhnya.

"Keadaan Adib semakin pulih, 70 peratus stabil berbanding sebelum ini dan proses pemulihan mengambil masa, kita harus bersabar.

"Kita puas hati dengan perkembangan positif Adib dari semasa ke semasa dan harap perkembangan yang lebih ketara dalam masa dua hingga tiga minggu ini," katanya. - Bernama