Sambil melahirkan rasa sedih dan kecewa, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Mohd. Noor berkata, kontroversi itu merupakan pertarungan politik amat tidak sihat dengan mengenepikan ajaran Islam dan nilai-nilai moral menerusi penyebaran video berunsur fitnah yang disasarkan terhadap peribadi seorang pemimpin.

Menurut beliau, penyebaran video itu boleh merosakkan imej umat Islam di mata dunia di samping merupakan dosa yang besar di sisi Allah SWT.

"Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mempamerkan contoh akhlak yang baik dalam segala bidang termasuk politik.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menolak permainan politik kotor dan tidak bermoral ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kontroversi video seks songsang yang didakwa melibatkan seorang menteri kanan.

Kontroversi itu semakin rumit selepas seorang lelaki hari ini membuat pengakuan bersumpah merupakan individu bersama menteri kanan yang dikaitkan di dalam video berkenaan. - K! ONLINE