Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tiga pelajar yang berusia dalam lingkungan 16 dan 17 tahun  itu dibawa ke Hospital Taiping selepas mereka mengalami gejala keracunan makanan.

Jelasnya, laporan awal mendapati, mereka mengalami sakit perut, muntah dan cirit - birit selepas menikmati hidangan sarapan di dewan makanan sekolah tersebut pagi semalam sebelum dibawa oleh pihak sekolah untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Ketiga-tiga pelajar itu dimasukkan ke dalam wad pemerhatian pada pukul 12 tengah hari dan dua daripada mereka dibenarkan keluar kira-kira sejam kemudian.

“Seorang lagi pelajar masih ditempatkan di dalam wad pemerhatian untuk rawatan lanjut sehingga pukul 5 petang ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Taiping di sini sebentar tadi.

Jelasnya, ketiga-tiga pelajar yang ditahan di wad itu menerima rawatan memasukkan air ke dalam badan mereka sebelum dibenarkan keluar.

Menurut Abdul Aziz, bagaimanapun pihaknya menerima laporan awal terdapat kira-kira 20 orang pelajar sekolah tersebut yang mengalami gejala keracunan makanan namun, mereka dipercayai dirawat di klinik kesihatan di sini.

“Kita masih menunggu laporan lengkap dari Jabatan Kesihatan berhubung kes keracunan makanan yang membabitkan pelajar sekolah tersebut.

“Setakat ini, hanya tiga orang pelajar yang dibawa ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah meletakkan standard kebersihan penyediaan makanan dan pihak sekolah perlu mematuhinya agar kejadian keracunan makanan tidak berulang lagi

Terdahulu, 31 pelajar MRSM berkenaan mengalami keracunan makanan pada 12 Julai lalu dan mereka dirawat di wad Hospital Taiping.

Pelajar yang mengalami gejala keracunan makanan itu dipercayai selepas menikmati hidangan daging masak lada hitam di dewan makan asrama sekolah itu.

Pelajar yang berusia dalam lingkungan 16 hingga 17 tahun itu kemudiannya menerima rawatan di Klinik Kesihatan Taiping dan Hospital Taiping. - K! ONLINE