Bagaimanapun, pemilik projek ECRL itu berkata, sepanjang tempoh penggantungan tersebut, pihaknya dan kontraktor utama, China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) masih akan melaksanakan pemeriksaan kerap terhadap keadaan di tapak projek bagi memastikan ketelusan kerja sedia ada dan dari semasa ke semasa menjalankan kerja pembaikan kerosakan jika perlu.

Dalam kenyataan hari ini, MRL berkata, ia telah mematuhi sepenuhnya arahan kementerian itu untuk menggantung semua kerja dan perkhidmatan berkaitan projek ECRL sehingga notis selanjutnya dikeluarkan serta mengambil semua langkah perlu untuk memelihara integriti dan kualiti semua kerja yang telah dilaksanakan setakat ini 

MRL menjelaskan, laporan berita dalam dua akhbar harian yang menurutnya seolah-olah mendakwa kerja pembinaan masih berjalan dan projek itu mencapai kemajuan walaupun arahan penggantungan telah dikeluarkan adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Pada 3 Julai lalu, MRL telah menerima notis daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya mengeluarkan arahan penggantungan bagi semua kerja dan perkhidmatan pembinaan yang ditetapkan dalam kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi projek ECRL bernilai RM81 bilion itu.

Pada hari yang sama, arahan penggantungan itu juga dikeluarkan kepada CCCC dan unitnya, China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd.

Mengikut setiap pembekalan kontrak EPCC, arahan penggantungan itu akan melibatkan arahan untuk CCCC memastikan semua tapak pembinaan ECRL sedia ada dikawal bagi meminimumkan sebarang kerosakan dan kemerosotan sepanjang tempoh terbabit.

MRL menjelaskan, kawalan tapak itu juga bertujuan memastikan semua keperluan keselamatan dan alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan dapat dipantau dan dipatuhi sepanjang masa, termasuk selama tempoh penggantungan kerja.

Setakat 8 Julai, CCCC masih menjalankan beberapa kerja kawalan tapak untuk mematuhi arahan MRL.

"Pekerja CCCC atau subkontraktornya akan berada di tapak projek untuk melaksanakan kerja-kerja ini sehingga MRL berpuas hati bahawa semua tapak pembinaan ECRL telah dijamin dikawal.

"Selain itu, pengawal keselamatan akan ditempatkan di situ untuk menjaga premis bagi menghalang sebarang pelanggaran keselamatan dan apabila tapak itu dikawal sebaik-baiknya, tiada lagi kerja lain akan diteruskan sehingga notis selanjutnya daripada MRL," menurut MRL. - Bernama