Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan mendapati mangsa, Mohd. Nor Syazrin Rasdi, 29, bersama rakannya telah pergi ke Pasar Malam Sri Muda atas tujuan berniaga barangan komestik pada Jun tahun lalu. 

Katanya, sewaktu sedang mempromosikan barangan komestik itu telah datang beberapa lelaki Indonesia berbangsa Madura yang berkunjung ke pasar malam sebelum menuju ke tapak mangsa berniaga. 

"Berlaku pertengkaran sehingga membawa pengaduhan susulan suspek mendakwa barangan dijual oleh mangsa tidak mujarab dengan disahkan oleh rakan mangsa yang berada di lokasi kejadian. 

"Kejadian tersebut kemudiannya berlarutan sehingga berlaku mangsa dibunuh setelah kembali berniaga di tapak pasar malam Taman Sri Muda pukul 9 malam pada 5 Januari lalu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam. 

Beliau menambah, pihaknya telah menangkap 14 individu melibatkan 13 warga Indonesia dengan tiga daripadanya adalah wanita selain isteri mangsa. 

"Seramai 10 lelaki warga Indonesia berusia 30-an telah didakwa atas kesalahan Imigresen di Mahkamah Shah Alam pada 29 Januari lalu. 

"Selebihnya dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti kukuh," katanya. 

Jelas Baharudin, pihaknya kini mengesan dua lelaki warga Indonesia berketurunan Madura dikenali Jumandi dan Gandar masing-masing berusia 20-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE