Menterinya, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa itu diwujudkan bagi menyiasat punca sebenar insiden dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi mengelak insiden tersebut berulang pada masa hadapan.

"Jawatankuasa ini diberikan tempoh satu bulan untuk menyiapkan laporan terperinci kepada Jemaah Menteri," katanya di sini hari ini.

Anthony berkata, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Mohd. Khairul Adib Abdul Rahman dan dianggotai Pengerusi Eksekutif, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr. Nungsari Ahmad Radhi.

Jawatankuasa itu juga terdiri daripada anggota Suruhanjaya MAVCOM, Datuk Seri Long See Wool; anggota Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Afzal Abdul Rahim; Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Ahmad Nizar Zolfakar dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Md. Shah Nuri Md. Zain selain Bahagian Udara, Kementerian Pengangkutan selaku sekretariat.

Sementara itu, Anthony berkata, sistem TAMS telah distabilkan pada Sabtu lalu dan ia sedang dipantau oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selaku operator lapangan terbang.

"Pada 21 Ogos lalu, telah berlaku kegagalan sistem TAMS di KLIA selama empat hari yang menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada para penumpang.

"Segala kesulitan yang dihadapi oleh penumpang-penumpang KLIA dalam insiden ini amatlah dikesali," katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihak kementerian ingin merakamkan penghargaan kepada para penumpang di atas kesabaran mereka dan berterima kasih kepada petugas-petugas yang membantu semasa insiden itu berlaku.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, gangguan sistem di KLIA, Sepang yang bermula malam Rabu lalu adalah berpunca daripada kegagalan rangkaian.

NACSA dalam satu kenyataan berkata, tiada sebarang aktiviti serangan siber dikesan membabitkan gangguan kepada sistem dialami di lapangan terbang itu sebaliknya penemuan awal siasatan yang dilaksanakan oleh MAHB mendapati kejadian itu disebabkan kegagalan perkakasan rangkaian. - K! ONLINE