Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad di Dewan Besar Sri Tanjong di sini sebentar tadi. 

Kemenangan itu sekaligus menunjukkan Mohd. Zawawi berjaya mempertahankan penguasaan tiga penggal parti itu di DUN Sungai Kandis. 

Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Mohd. Zawawi, 48, mendapat 15,427 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam yang memperoleh 9,585 undi dan calon bebas (97 undi).

Bagaimanapun undi majoriti yang diperoleh Mohd. Zawawi menunjukkan penurunan berbanding wakil rakyat terdahulu Mat Shuhaimi Shafie iaitu sebanyak 12,480 undi. 

Sementara itu, PRK DUN Sungai Kandis mencatatkan rekod buruk apabila hanya 49.4 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka. 

SPR sebelum ini menyasarkan sebanyak 80 peratus pengundi akan keluar mengundi pada pilihan raya berkenaan. 

Jumlah undi ditolak adalah sebanyak 173.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu. 

Pada PRU-14, Mat Shuhaimi, bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd. Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76). - K! ONLINE