Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Mohamed Hazlan bertanggungjawab mentakrifkan halatuju yang baharu untuk Prasarana supaya pencapaian operasi Prasarana dalam sektor pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.

“Pada masa yang sama Mohamed Hazlan juga mempunyai peranan yang besar untuk melaksanakan penstrukturan semula syarikat bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan untuk merekodkan tahap pembiayaan
kewangan yang lebih berkesan dan mampan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Hazlan mempunyai pengalaman yang meluas serta rekod perkhidmatan dalam bidang pengangkutan awam, minyak dan gas, pos dan lebuhraya.

Jawatan yang pernah dipegang termasuk Pengarah Kumpulan dalam beberapa bahagian DRB-Hicom.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi RapidKL, Ketua Pegawai Operasi Unit Strategik Pos Malaysia Berhad dan Pengurus Besar Bahagian Operasi Plus Expressways.

Selain itu, Mohamed Hazlan menerima ijazah sarjana muda dalam bidang kejuruteraan awam daripada Imperial College of Science and Technology, London pada tahun 1988. - K! ONLINE