Beliau yang menjalankan tugas-tugas Presiden parti berkata, tindakan itu adalah salah memandangkan pandangan dan teguran itu adalah satu ilmu yang patut didokong BN sebagai kerajaan ketika itu. 

"Tidak dengar cakap orang. Dahulu dengan jawatan masing-masing, cakap orang bawahan tidak hendak dengar.

"Ini antara sebab kecundang. Dahulu orang bagi pandangan, kita 'ceh' kan sahaja dan buat tidak tahu. 
Kitalah yang arif, akhirnya kecundang. Sikap bodoh sombong ini tak kemana," katanya pada program Bicara Minda bersama beliau anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan penonton pengajaran paling berguna dipelajari UMNO selepas kalah dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14.

Mohammad turut menjelaskan punca kedua adalah manifesto BN yang dibentangkan seperti belanjawan tahunan dan tidak sehebat seperti dibawa oleh PH. 

Namun, pada masa sama beliau secara sinis menyindir manifesto PH yang sehingga kini masih tidak tertunai. 

"UMNO masih dapat sokongan Melayu cuma strategi dan  manifesto yang tidak betul.

"PRU-15, kita akan buat macam-macam janji, bagi bulan bintang sebab manifesto bukan janji," jelasnya. - K! ONLINE