Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, pihak kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan melakukan pemantauan lebih kerap bagi produk makanan import di setiap pintu masuk di Malaysia.

"Sudah tentu selepas ini MAQIS akan melakukan kawalan dan siasatan lebih teliti. Ini antara tugas utama pihak kementerian (MOA).

"Difahamkan, kita ada 57 pintu masuk untuk mengawal sebarang barangan yang masuk ke negara ini melalui permit import khususnya yang dikeluarkan oleh MOA.

"Pihak kementerian akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu keselamatan makanan yang mana kita bukan sahaja mahu memastikan makanan mencukupi dan boleh dibeli di pasaran, tetapi apa yang paling penting, kualiti makanan," katanya.

Salahuddin berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengulas mengenai kejayaan MAQIS menahan dua buah kontena dari China berisi sardin di dalam tin yang mengandungi bendasing iaitu cacing pada 14 Mei lalu.

Kelmarin, MAQIS dalam satu kenyataan memaklumkan, sardin di dalam itu dibawa masuk melalui pintu masuk North Butterworth Container Terminal (NBCT) Pulau Pinang dengan anggaran berat 36,720 kilogram dan bernilai RM199,797.24.

Mengulas lanjut, Salahuddin menzahirkan ucapan tahniah kepada MAQIS setelah berjaya menemukan dua buah kontena tersebut.

"Saya ingin mengucapkan syabas kepada MAQIS yang telah menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

"Terima kasih juga diucapkan kepada Kementerian Kesihatan yang turut serta mengawal dan berada di setiap pintu masuk ke negara ini.

"Jadi saya berharap, pada masa-masa akan datang, pasukan MAQIS akan dapat menjalankan kerja dengan lebih cemerlang," katanya.

Ketua Pengarah MAQIS, Datuk Mokhtaruddin Husain sebelum ini memberitahu, cacing terbabit ditemui menerusi pemeriksaan fizikal dan persampelan ke atas beberapa tin sardin yang tiba dalam dua kontena yang ditahan di NBCT.

Cacing terbabit berkemungkinan daripada genus Anisakis spp yang menyebabkan penyakit anisakiasis  kepada manusia yang biasanya berlaku apabila manusia memakan makanan laut seperti ikan mentah atau tidak dimasak sepenuhnya yang dijangkiti parasit terbabit.

Anisakiasis adalah penyakit  parasit dan zoonotik bawaan ikan yang disebabkan oleh nematode Anisakis spp(cacing) yang menyerang sistem gastrointestinal seperti perut dan usus manusia dan boleh menyebabkan masalah atau simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit, loya dan muntah. - K! ONLINE