Mayat mangsa, Bernabas Lias Jalal, 77, dari Tabuan Dayak di sini dijumpai selepas 4WD jenis Mitsubishi Storm berjaya dinaikkan ke darat kira-kira pukul 3.11 petang.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebelum itu, anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) berjaya mengenal pasti kedudukan Mitsubisihi Storm tersebut selepas mengesan tompokan minyak di permukaan sungai.

Menurutnya, hasil selaman anggota PPDA mengenal pasti kedudukan kenderaan berkenaan kira-kira 50 meter dari jeti feri dengan kedalaman air dianggarkan sedalam 18 meter.

"Operasi mengangkat Mitsubishi Storm yang tenggelam itu telah dibantu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan menggunakan lori kren yang diletakkan di atas feri untuk memudahkan operasi tersebut.

"Kenderaan tersebut kemudian dibawa ke jeti feri di sini bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi mencari dan menyelamat mansga yang memasuki hari keempat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.20 petang," katanya. - K! ONLINE