Menterinya Mohamad Sabu berkata, beliau akan segera berbincang dengan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berhubung perkara itu.

"Seperti yang kita telah hantar (bantuan) ke Laos (kejadian empangan hidro yang sedang dibina pecah), saya akan bincang segera dengan PAT untuk tindakan segera," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan kawasan itu pada pukul 5.47 pagi semalam menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggalkan kediaman dan bangunan.

Setakat ini lebih 1,000 rumah dan bangunan dilaporkan musnah.

Gempa itu meragut 14 nyawa termasuk seorang warga negara Malaysia, Siti Nur Iesmawida Ismail, 30, dilaporkan akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan.

Lebih 500 pendaki termasuk 21 dari Malaysia dilaporkan masih terperangkap di gunung berapi Rinjani di Lombok Timur yang merupakan destinasi popular di kalangan pelancong dan pendaki. - Bernama