Rata-rata mereka memilih perkhidmatan feri susulan harga yang berpatutan dan ingin merasai kelainan berbanding menggunakan kapal terbang.

Tinjauan Kosmo! di Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga Harbour City di sini turut mendapati kebanyakan warga Indonesia gemar membawa pek milo sebagai 'ole-ole' pulang ke kampung.

Seorang warga Indonesia, Didi Suwito, 31, berkata, membeli sebanyak 20 pek milo untuk keluarga dan rakan sebagai minuman berbuka puasa dan Hari Raya Aidilfitri.

"Bukan tiada milo di Medan, Indonesia tetapi milo yang dipasarkan di Malaysia mempunyai rasa yang lebih sedap dan manis.

"Selain itu, saya turut membawa pulang susu Anlene untuk kegunaan ibu bapa yang telah tua," katanya ketika ditemui di terminal berkenaan hari ini.

Dia yang bekerja sebagai buruh perpaipan di Malaysia sejak enam tahun lalu menjelaskan lebih gemar menggunakan feri berbanding kapal terbang.

"Kalau naik feri akan berlabuh di pelabuhan Tanjung Balai, Asahan yang jaraknya 30 minit dari kampung berbanding jarak lapangan terbang ke rumah adalah 4 jam," katanya.

Sementara itu, Miranda Minan, 30, menjelaskan ini adalah kali pertama dia bersama tiga orang anaknya berusia 3 hingga 10 tahun menaiki feri pulang beraya di Medan bagi merasakan kelainan.

"Dua tahun sekali saya akan pulang ke kampung selepas berkahwin dengan suami yang merupakan warga tempatan sejak 15 tahun lalu.

"Walaupun masa perjalanan dianggarkan empat jam setengah namun kami amat teruja," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Syarikat Kumpulan Asa Niaga, Azrin Shaari berkata, sebanyak 30,000 tiket feri untuk ke pelabuhan Tanjung Balai, Asahan dan Dumai, Indonesia telah terjual sejak sebulan lalu setakat hari ini.

"Kita menambah jumlah perjalanan sehingga enam kali sehari berbanding dua perjalanan pada hari biasa bagi menampung permintaan sepanjang musim perayaan ini.

"Satu feri boleh memuatkan 400 penumpang saja kerana kita amat mementingkan aspek keselamatan yang tinggi," katanya.

Jelas beliau, harga tiket pergi balik kekal pada kadar RM260 seorang dewasa dan RM180 kanak-kanak bagi perjalanan dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Balai, Asahan, dan ke Dumai, Indonesia sejak terminal itu beroperasi 12 September lapan tahun lalu. - K! ONLINE