Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, parti komponen BN perlu sepakat membuat perubahan dengan mengambil kira kelemahan yang ada untuk terus kekal relevan.

Beliau berkata, BN perlu menjadi sebuah parti pembangkang yang baik untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat.

Bagaimanapun katanya, parti itu mungkin akan mempertimbangkan pilihan lain sekiranya perubahan dalam BN tidak berlaku.

"Hari ini, kita (MIC) masih sebahagian daripada BN, kita merasakan BN perlu melakukan pembaharuan untuk menghadapi cabaran semasa dan kita akan melihat jika perubahan itu berlaku, kita boleh menjadi relevan kepada cabaran politik.

"Jika tidak, kita akan mencari pilihan lain," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato' Onn, malam tadi.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai pula berkata, semua parti komponen akan melakukan post-mortem bagi mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan mereka.

"BN masih utuh, mereka yang berada dalam BN, kita perlu mengharungi bersama," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 9 Mei lepas, MIC hanya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu di Tapah dan Cameron Highlands manakala MCA satu kerusi di Ayer Hitam. - Bernama