Pengarahnya, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung mesej yang tersebar luas tersebut dan mendapati tidak ada kes yang dirawat serta meninggal dunia di hospital yang mempunyai kaitan dengan berita berkenaan.

"Berdasarkan pemantauan notifikasi yang diterima sehingga kini, tiada sebarang notifikasi kes atau kematian yang diterima oleh Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia melibatkan penyakit atau kejadian keracunan makanan yang disyaki daripada penggunaan daun pisang atau kes yang disyaki menghidap jangkitan virus Nipah," katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam tular satu mesej mendakwa seorang wanita mengalami sesak nafas dan meninggal dunia selepas makan nasi daun pisang yang disyaki mempunyai virus Nipah di Rawang, Selangor Khamis lalu.

Mengulas lanjut, Dr. Khalid menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan berita atau mesej yang belum tentu kesahihannya.

"Orang ramai juga diminta agar tidak menyebarkan berita yang tidak tepat tanpa mendapatkan sebarang pengesahan daripada KKM terlebih dahulu," katanya. - Bernama