Bagaimanapun, Mohamaddin tidak dapat memastikan sama ada Isham dipanggil memberi keterangan berhubung salah laku rasuah atau kes lain berikutan masih belum bertemu dengan beliau.

“Beliau dipanggil memberi keterangan semalam dan hari ini, saya tidak boleh ulas panjang mengenai perkara ini kerana belum mendapat maklumat secara terperinci. Tujuan beliau dipanggil pun saya tidak tahu lagi.

“Setakat ini, saya difahamkan hanya beliau seorang sahaja yang telah dipanggil oleh SPRM. Situasi ini tidak akan menjejaskan sebarang operasi di kementerian dan semuanya lancar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, notis memerintahkan Isham hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM telah tular di laman sosial semalam sehingga menimbulkan tanda tanya terhadap siasatan Ketua Setiausaha kementerian itu.

Mengulas lanjut, menurut Mohamaddin, beliau tidak tahu pihak yang membuat laporan kepada SPRM sehingga Ketua Setiausaha kementeriannya itu dipanggil memberi keterangan namun, akan memberikan kerjasama dalam siasatan jika perlu.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai di kementerian ini yang melakukan kesalahan termasuk rasuah. Kita kerajaan baharu yang bersih dan perkara berkenaan perlu diberikan keutamaan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Isham akan dikenakan tindakan dalaman selepas ini, Mohamaddin berkata, pihaknya akan menunggu segala siasatan selesai terlebih dahulu.

“Kita tunggu dahulu, jika serius dan perlu direhatkan, saya akan minta pandangan daripada Ketua Setiausaha Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.- K! ONLINE