Forum tiga hari bertemakan "ASEAN 4.0: Keusahawanan dan Revolusi Industri Keempat" bermula di Hanoi, Vietnam hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, para peserta akan membincangkan mengenai isu-isu strategik tentang tiga teras utama iaitu Keusahawanan untuk Merangka Pendekatan Baharu Kepada Tadbir Urus Serantau dan Global, Keusahawanan bagi Memacu Kedinamikan Ekonomi dan Perniagaan, dan Keusahawanan untuk Membentuk Inklusi Sosial. 

Darell diundang oleh WEF untuk menyertai beberapa sesi merangkumi topik seperti  "Perdagangan Bermasalah : Menangani Ketegangan Geo-Ekonomi", "Mendepani Gangguan: Masa Depan Digital ASEAN" dan "Meningkatkan Perdagangan dan Pelaburan di Asia Pasifik", kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

"Penyertaan dalam forum tersebut menyediakan peluang bagi Malaysia untuk memberi jaminan kepada komuniti perniagaan global terutamanya dari negara-negara ASEAN dan rakan dialog kita, tentang komitmen Malaysia untuk menjadikan negara sebagai destinasi pilihan bagi perdagangan dan pelaburan.

"Sesi perangkaian dengan perniagaan serantau dan pelabur asing menyediakan peluang bagi Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti dengan tokokan nilai tinggi, pengeluaran berintensifkan modal dan teknologi tinggi ke negara ini," kata kementerian itu. - Bernama