Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, dalam pertemuan itu semalam, Othsman telah mendengar keluhan dan kesusahan mereka serta sedia membantu sebarang keperluan sepanjang berada dalam tahanan.

"Menurut Othsman, hasil lawatan tersebut beliau dimaklumkan mereka semua terpedaya dengan tawaran kerja di hotel-hotel di kawasan pelancongan Siem Reap. Tetapi apabila mereka tiba di sini ejen pekerjaan berkenaan telah mengambil pasport dan telefon bimbit yang menyebabkan kesemua mereka terputus hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan," katanya kepada Bernama dari Phnom Penh.

Mustapha berkata, Othsman telah bersetuju untuk membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Hun Sen dalam masa terdekat, selain berjanji akan cuba menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin.

Selain itu, katanya, Othsman turut menyatakan penghargaannya kepada pihak NGO Antarabangsa yang sentiasa berhubung dengannya untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Khamis lepas, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet, sejak 11 Disemnber tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, mereka ditahan atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram. - Bernama