Titah baginda, budaya politik negara ini menjelmakan ketaksuban baharu, menghidupkan budaya asabiah dan menganjurkan pemikiran mengutamakan kesetiaan kumpulan daripada kepentingan menerima kebenaran, malah mencanai minda mementingkan kumpulan daripada kelangsungan ummah lebih menyeluruh.

Sultan Nazrin bertitah, umat Melayu hari ini kelihatan beransur lemah kerana telah kehilangan semangat ukhuwah, lemah jati diri, semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan dan semakin mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

"Islam telah membina umat Melayu berdisiplin, amanah, jujur, luhur dan ikhlas; Islam telah menyatukan umat Melayu dengan membina ukhuwah hingga umat Melayu bersatu teguh sehingga muncul sebagai umat yang kuat; tetapi hari ini umat Melayu kelihatan beransur lemah," titah Sultan Nazrin di Bandar Hilir di sini hari ini.

Baginda bertitah sedemikian ketika menyempurnakan Majlis Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Majlis Hakim-hakim dan Pendaftar Mahkamah Syariah Negeri Melaka di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Anggota Jemaah Pemangku Raja Perak, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin; dan Ketua Menteri Melaka,  Adly Zahari. - Bernama