Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan juga akan memastikan pelaksanaan sistem subsidi petroleum bersasar akan berjalan dengan lancar.

"Saya harap dapat (mengumumkan mekanisme baharu subsidi petroleum) awal tahun depan tetapi kita sedang bekerja keras. Lebih cepat kita muktamadkan, lebih cepat kita akan lancarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan selepas merasmikan forum "Ekonomi Digital: Meneroka Potensi Untuk Memacu Pembangunan Malaysia" yang dikendalikan Kementerian Kewangan Malaysia dan Hub Pengetahuan dan Penyelidikan Global Kumpulan Bank Dunia.

Ketika menjawab pertanyaan Senator Ng Chiang Chin di Dewan Negara pagi ini, Amiruddin menjelaskan jumlah subsidi petrol bagi RON95 dan diesel yang ditanggung kerajaan bagi tempoh Mei hingga Julai lalu adalah sebanyak RM1.667 bilion.

Katanya, pada masa ini kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter walaupun harga sebenar pasaran adalah lebih tinggi.

Menerusi sistem subsidi bersasar itu, subsidi petrol diberikan pada kadar yang sesuai setiap bulan dan mengikut satu kuota yang ditetapkan kepada golongan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).

"Subsidi ini diberi kepada golongan yang layak untuk kegunaan motosikal 125cc ke bawah dan kereta 1300cc ke bawah," jelasnya. - Bernama