Beliau berkata, pengamal media di Malaysia kini menikmati angin perubahan baharu apabila mereka kini bebas melaporkan berita selain kurangnya kawalan daripada pihak kerajaan.

“Namun dalam menikmati kebebasan mestilah datang bersekali dengan tanggungjawab untuk menjaga etika kewartawanan dan fakta yang tepat,” katanya dalam kiriman khas mengenai sambutan Hari Kebebasan Media di laman Facebook hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ‘memohon maaf’ kerana lewat sehari mengucapkan Selamat Hari Kebebasan Media kepada pengamal media Malaysia.

“Sehari terlewat saya harap rakan-rakan pengamal media maafkan saya. Selamat menyambut Hari Kebebasan Media buat semua pengamal media,” katanya.

Baru-baru ini, Malaysia melonjak sehingga 22 anak tangga, untuk membolehkan ia menduduki tempat ke-123 daripada 180 negara dalam ranking Indeks Kebebasan Media Dunia 2019.

Menurut indeks terbaru yang dikeluarkan oleh pertubuhan ‘Reporters Without Borders’ pada 18 April lalu, Malaysia menduduki tempat teratas dalam ranking itu dalam kalangan negara di rantau Asia Tenggara. - Bernama