Sebaliknya, katanya, sebarang keputusan untuk membubarkan gabungan parti itu perlu dicapai secara konsensus dan bukan semata-mata cadangan satu parti komponen sahaja.

Semalam, Perhimpunan Agung MCA ke-65 sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran BN membentuk perikatan baharu.

"Walaupun ia merupakan satu cadangan, mereka harus ketahui bahawa sebarang keputusan BN adalah dibuat secara konsensus," kata Ahmad Zahid yang juga presiden UMNO kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, BN disertai oleh 13 parti komponen dan kini tinggal empat iaitu UMNO, MCA, MIC dan myPPP selepas BN kehilangan kuasa untuk pertama kali dalam tempoh 61 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, BN menghormati keputusan MCA itu serta menasihatkan parti itu mengetahui kedudukan mereka dalam Parlimen sekiranya mahu terus relevan dalam landskap politik negara.

MCA hanya mempunyai seorang wakil dalam Dewan Rakyat iaitu presiden parti, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebagai Anggota Parlimen Ayer Hitam.

Susulan pendirian parti itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan mengadakan rundingan dengan parti komponen lain dalam gabungan itu berhubung resolusi MCA untuk membubarkan BN yang ditubuhkan pada 1973. - Bernama