Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya turut terkejut dengan kejadian tersebut dan beliau telah mengarahkan agensi yang terlibat dalam serbuan itu untuk menyerahkan laporan penuh mengenainya. 

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa yang terlibat dalam serbuan itu menyerahkan laporan lengkap kerana saya perlu tahu apa yang berlaku sebenarnya. 

“Saya difahamkan para pelajar yang sedang mengikuti kuliah agama tersebut diperiksa dan diminta untuk menjalankan ujian air kencing. Ini sesuatu yang pelik dan melampau.

“Saya merasakan ia mungkin ada kaitan dengan masalah tanah, namun saya tidak mahu membuat andaian dan perlu meneliti laporan penuh terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Lembaga Air Perak di sini hari ini. 

Isu serbuan ke atas pondok pengajian agama tersebut menjadi tular sejak semalam selepas gambar kejadian tersebut dimuat naik di dalam media sosial Facebook. 

Menurut status yang dimuat naik tersebut, pondok pengajian yang mengambil anak-anak yatim dan remaja bermasalah itu telah beroperasi sejak tahun 2010 di atas tanah bukan milik mereka. 

Katanya, lebih 100 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan termasuk Polis, Jabatan Agama Islam Perak, Pejabat Tanah Kampar, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan terlibat dalam serbuan itu. - K! ONLINE