Pemancing, Mohamad Razali Mohamad Zin, 59, berkata, sewaktu kejadian, dia pergi ke sungai berkenaan bersama tiga anaknya sekitar pukul 8 pagi untuk memancing ikan patin.

"Sewaktu memancing, tali pancing saya tersangkut pada plastik sampah yang terapung lalu dibawa ke tebing sungai.

"Apabila saya pergi untuk melepaskan mata kail, saya terlihat satu objek yang menyerupai patung dan selepas diteliti, saya dapati ia adalah mayat seorang lelaki," katanya ketika ditemui di sini.

Mohamad Razali yang bekerja sebagai seorang pemandu lori kemudiannya terus menghubungi pihak polis bagi melaporkan penemuan tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din yang mengesahkan penemuan tersebut berkata, mayat berkenaan berkemungkinan telah dibuang di sungai berkenaan sekitar tiga hingga empat hari lalu berdasarkan keadaannya yang sudah membusuk.

"Mayat berkenaan adalah milik seorang lelaki berusia di antara 30 ke 40 tahun namun identitinya belum dapat dikenal pasti.

"Setakat ini punca kematian masih dalam siasatan dan mayat akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di sini hari ini. - K! ONLINE