Mayat  Muhammad Norhakimi Rejab, 18, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 5.50 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi Pangkalan Hadapan Carilamat.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, sejurus mayat mangsa disahkan oleh pihak keluarga pasukan SAR membawa mangsa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

“Usaha mencari seorang lagi mangsa, Noor Rahimi Fithri Ismail, 19, yang masih hilang diteruskan pada hari ini yang mana kita mendapati  mangsa  dilaporkan memakai baju berwarna merah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sanifah berkata, empat aset laut daripada beberapa agensi iaitu APMM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam digunakan dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang. 

Jelasnya, pasukan SAR memperluaskan kawasan pencarian sehingga enam batu nautika persegi daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Semalam, dua remaja yang juga sepupu itu dilaporkan hilang selepas bermandi-manda bersama keluarga pada pukul 8 pagi di Pantai Batu Layar di sini. - K! ONLINE.